Saturday, September 12, 2009

SCORPENE IBARAT TUAH

Dengan penuh gemalai ku selak sehelai demi sehelai helaian akbar Utusan Malaysia 10 September 2009. Tidak semena-mena mata ku tertancap pada makhluk gergasi laut yang cukup digeruni oleh manusia, khususnya manusia yang sentiasa bergelumang dengan laut, kapal yang bewarna kelabu tua bernombor plat yang bewarna hitam di sisi, muncung panjang ibarat Sang Todak dihadapan kapal yang berfungsi sebagai senjata bak dentuman halilintar, dan radar yang sentiasa berputar-putar laju mengikut putaran jam.

Gergasi itu ibarat Sang Paus yang mengelilingi laut biru, menyelam sehingga ke dasar laut. Berbeza dengan Sang Paus, gergasi ini dihiasi dengan alatan elektronik millenium alaf 21. Dicipta oleh tamadun barat yang dikatakan unggul itu. Gah dengan keterampilannya yang cukup membuatkan Sang Todak di atas laut menggigil. Bewarna hitam, mempunyai pancaindera mata yang ditimbulkan ke permukaan lautan. Senjata gergasi ini hanya dikawal dengan punat kawalan yang dikendalikan seorang manusia didalamnya. Dengan sekali semburan sahaja, maka bayangan seperti rocket yang mempunyai dua sayap di belakangnya menerjah Sang Todak sehingga musnahlah isi perutnya..

Gergasi yang dimaksudkan olehku ialah Kapal Selam Scorpene yang telah pun menjadi milik negara kita yang tercinta ini. Diberi nama KD Tunku Abdul Rahman amat berbaloi untuknya, namun bagi diriku Scorpene buatan Perancis itu lebih mirip Si Tuah..Jika di tanya kepadaku mengapa, KD itu sentiasa akan belayar dan mengembara, KD itu akan sentiasa diberi arahan oleh Sultan yang menjadi tonggak kesetiannya. KD itu akan sentiasa menjaga kita. Bukan sahaja rakyat Melaka, tetapi juga rakyat seluruh negara. KD itu juga yang akan berperang bermati-matian meggunakan senjata elektronik yang ada padanya untuk mempertahankan kita, tidak hanya pada kerisnya. KD itu akan sentiasa ke negara luar mengadakan latihan secara bersama untuk merapatkan lagi hubungan diplomatik negara kita dengan negara luar.

Si Tuah itu akan dipelihara dengan rapi, di asah bakat yang ada padanya untuk mengasah ketajaman pencaknya di medan perang, hulubalang yang mengawal di dalamnya akan sentiasa taat dan menjaga diri Si Tuah sehingga ke titisan darah yang terakhir. Jadi bagi diriku Si Tuah itu akan:

"Bekorban Apa Sahaja,
Harta ataupun nyawa,
Itulah Kasih Mesra,
Sejati Dan Mulia."

Bagi dirimu pula?